Wednesday 24 August 2011

RENUNGAN - RAMADAN

RENUNGAN - RAMADAN AKAN BERLALU DAN SYAWAL AKAN MENJELANG TIBA
Sedar atau tidak - masa berlalu begitu cepat. Ada yang mengatakan sebulan bagaikan seminggu , seminggu bagaikan beberapa hari sahaja, siang berlalu terlalu cepat – sedar-sedar sudahpun malam. Begitulah kita, senantiasa saja mengeluh, bagaikan masa 24 jam yang diperuntukkan Allah swt kepada kita semakin hari semakin dipendekkan. Apakah itu benar? Hakikatnya, masa tetap sama iaitu 24 jam ataupun bersamaan 1440 minit atau 86,400 saat sehari. Itulah hakikat masa daripada sejak dahulu dan masa kini.
Sebenarnya, kitalah yang menentukan sama ada masa itu berlalu  cepat ataupun lambat. Memang kita senantiasa sebuk. Bagi yang bekerja tak kira sama ada di sektor awam atau swasta, mencari masa untuk kegunaan peribadi selepas selesai bekerja dengan majikan adalah satu perkara yang rumit. Nampak semacam tak ada masa yang terluang. Sama ada kita bersedia menerima hakikat atau tidak, kebanyakan kita tidak pandai menyusun dan merancang penggunaan masa dengan efektif. Biasanya kita hanya mengikut naluri hati kita sendiri tanpa merancang dan memberi keutamaan apa yang penting dan perlu didahulukan. Maka terjadilah apa yang kita lakukan hanya berpaksikan kepada naluri kita tanpa memberi penekanan  kepada keutamaan yang penting.
Fiqah Keutamaan (Fi Fiqah al-Awlawiyyat) karya Prof. Dr. Yusof Abdullah Al-Qardhawi banyak membahaskan perkara ini dalam perspektif yang lebih luas. Bagi yang telah pencen,  keadaan yang sama tetap berlaku. Mereka juga merasa tak cukup masa! Teori masa bekerja dulu rupanya salah – rancangan pencen biasanya begitu ambitious, nak buat itu dan nak buat ini. Itulah yang selalu dibisikkan dalam hati masing-masing. Masa pencen kononnya nak dipenuhkan dengan melakukan perkara-perkara yang tidak sempat dilakukan semasa bekerja dahulu dan akan menumpukan lebih masa beribadah kepada Allah swt. Kadang-kadang persoalan ibadah disalah tafsir dengan hanya menumpu kepada perkara-perkara yang melibatkan sembahyang , puasa, zakat, menunaikan haji dan umrah sahaja. Kita sebenarnya mungkin gagal melihat ibadah dalam konteks dan perspektif yang lebih luas.
Berbalik kepada Ramadan yang akan berlalu pergi tidak berapa hari lagi, marilah kita bermuhasabbah diri kita masing-masing:


BIL.
MUHASABBAH DIRI
1.
Apakah Ramadan kali lebih baik dari yang sebelumnya?
2.
Kalau jawapannya ‘ya’, tenung dahulu secara keseluruhannaya apa yang baiknya. Kemudian muhasabbah lagi diri seperti di bawah:
3.





.
Kita sering mengeluh betapa cepatnya masa berlalu. Ada dua (2) perkara penting di dalam kita menganalisis diri mengenai masa:
§          Adakah banyak masa kita berlalu dengan sia-sia?
§          Adakah banyak masa berlalu dengan dosa?

Lihat dan analisis amalan yang kita lakukan dalam 6 peringkat:
§         Bagaimana amalan bentuk diri kita seperti sembahyang, puasa, zakat dan  sebagainya?
§        Bagaimana amalan bentuk keluarga seperti nafkah, menjadi isteri yang taat, suami yang baik,  menjadi anak yang taat dan sebagainya?
§        Bagaimana amalan bentuk masyarakat seperti menjaga keamanan masyarakat, amar makruf nahi mungkar? Sejauh mana sumbangan kita kepada ahli khariah dalam kawasan Kota Perdana? Bagaimana dengan jiran terdekat kita?
§         Bagaimana dengan amalan dalam bentuk menyumbang tenaga kepada  negara seperti membangunkan negara selaras dengan agama dan sebagainya?
§         Bagaimana amalan bentuk ummah Islamiyyah sekeliannya seperti membantu atau mendoakan saudara seIslam walau di mana mereka berada?
§         Ada kita orang yang menjalani kehidupan dengan amalan yang dibuat dengan sambil lewa?
4.
Bagaimana tahap ketakwaan kita kepada Allah?
5.
Berapa banyak sedekah kepada perlu telah dikeluarkan? Bagaimana keikhlasan kita besedekah?
6.
Bagaimana kita menjaga aurat kita?
7.
Bagaimana dengan qiamullail kita?
8.
Bagaimana dengan tadarus kita?
9.
Bagaimana lidah kita berperanan pada bulan puasa ini? Bagaimana mata kita berperanan? Bagaimana telinga kita berperanan? Bagaimana ‘hati’ kita berperanan? Bagaimana anggota-anggota tubuh badan yang lain berperanan?
10.
Adakah kita terdedah dengan sifat mazmumah – riak, bangga diri, kasihkan kemegahan, pemarah, hasad, hubbuddunia (kesenangan duniawi) dan lain-lain.
11.
.
Bagaimana makan minum kita dalam bulan Ramadan ini – adakah berlaku pembaziran atau tidak? Sekiranya kita membeli makan minum kita di bazar ramadan ataupun dimana-mana saja – adakah kita berhati-hati disegi halal haramnya? Hatta penjual yang menjual juga perlu diperhatikan adakan mereka menjaga disegi hukum hakam syarak – Mithalannya adakah mereka menutup aurat? Pilihan yang terbaik ialah membeli makanan daripada orang menjaga hukum syarak untuk mendapat keberkatan. Ini adalah ketelitian yang boleh membawa kepada keberkahan dalam perihal makan minum yang melambangkan keperibadian seorang muslim yang tulin.
12.
Bagaimana hubungan kita antara sesama insan – adakah kita sering bermaaf-maafan  sebagai yang dituntut dalam syari'at?
13.
Apakah nilai perbandingan ibadah kita berbanding dengan Nabi saw? Mungkin bagai langit dan bumi.
14.
Segala apa yang dilalui, perlu selalu bermuhasabah. Saidina Umar mengatakan “hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab”. Semoga Allah akan terus menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat.

Semoga Allah akan memanjangkan umur kita sehingga ke akhir Ramadan tahun ini dan melalui proses pembelajaran di sekolah atau universiti Ramadan ini, kita akan menyambut hari graduasi atau konvokesyen pada 1 syawal 1432H. Marilah sekali lagi kita sama-sama berdoa agar kita dipanjangkan umur dan diketemukan lagi pada Ramadan dan syawal akan datang, insya Allah.

Bagi penduduk khariah Surau Ar-Rahim, pihak Surau Ar-Rahim mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin. Semoga permaufakatan kita disepanjang Ramadan ini akan memperkukuhkan ukhwah kita dalam kampung Kota Perdana ini. Pemaufakatan ini juga  diharap bukan sahaja  membawa kita kepada kekuatan membina persaudaraan antara sesama kita, malah yang lebih penting ialah membawa semangat dan kekuatan Ramadan ke sepanjang tahun dalam membina kekuatan iman kita. Bersama-samalah kita menyusun program mengimarahkan surau kita, baik dalam konteks peribadahan maupun menuntut ilmu. Bagi yang balik kampung , pandu cermat dan berhati-hati di jalan raya. Jangan lupa berdoa memohon keselamatan kepada Alah swt. Selamat kita bertemu kembali dan selamat menunaikan puasa sunat enam  di bulan Syawal. Mengikut Al-Imam Muslim daripada Abu Ayub Al-Ansary katanya; Rasulallah telah bersabda yang bermaksud " Barang siapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal adalah seumpama puasa sepanjang tahun".

Bagaimana perkiraan pahala puasa "satu tahun". Dikeluarkan oleh An-Nisaa'ei dan Ibnu Hibban daripada Thauban katanya; Rasulallah s.a.w telah bersabda yang bermaksud "Puasa sebulan Ramadan bersamaan dengan puasa selama 10 bulan dan puasa selama 6 hari selepasnya menyamai puasa 2 bulan, maka dengan yang demikian puasa satu tahun". Perkiraan ini berpandukan kepada setiap kebajikan dan kebaikan di sisi Allah adalah menyamai dengan 10 kebajikan. Ini bermakna setiap hari di bulan Ramadan (1 hari x10 kebajikan x 30 hari) menyamai 300 hari atau 10 bulan. Juga puasa 6 hari di bulan Syawal (6 hari x 10 kebajikan) menyamai 60 hari atau 2 bulan. Oleh itu, jumlah keseluruhan ialah 360 hari atau 1 tahun.

Wallahualam.

BIRO PENERBITAN & DAKWAH, SURAU AR-RAHIM
25 OGOS 2011


No comments:

Post a Comment