Sunday 14 August 2011

Kuliah Ramadan Kota Perdana

Keluaran 18/11-2
SURAU AR –RAHIM KOTA PERDANA


RINGKASAN TAZKIRAH RAMADAN OLEH:   
USTAZ ABU BAKAR   
Pada 5 Ogos 2011   

§  Ramadan adalah tetamu yang Allah hantarkan kepada umat Islam ; 
§  Ramadan datang dengan menggandakan amalan kita;    
§  10 malam terakhir bulan Ramadan penanda bagi malam Lailatul Qadr ; 
§  1 amalan fardu di bulan Ramadan disamakan dengan 70 amalan fardu di luar Ramadan;  
§  1 amalan sunat di bulan Ramadan disamakan dengan 1 amalan fardu di luar Ramadan;  
§  Malam Lailatul Qadr adalah malam yang lebih baik daripada seribu bulan ibadah;   
§  Sesiapa yang mendapat malam Lailatul Qadr akan disediakan syurga ; 
§  Takbir Hari Raya menandakan kemenangan melawan hawa nafsu di bulan Ramadan; 
§  Hawa nafsu yang diperangi itu adalah hawa nafsu yang berkongsi dengan Iblis;dan   
§  Amal baik orang kafir adalah seperti tin kosong di akhirat.  


TAZKIRAH RAMADAN OLEH:  
USTAZ NIZAMUDDIN  ZAKARIA
USIM  
Pada 4 Ogos 2011 
  
NIKMAT SYURGA   
Ibnu Masud meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:  
Seorang yang paling akhir masuk syurga ialah lelaki, dia berjalan dan kadang –kadang merangkak , ketika itu ia masih lagi diekori api neraka akibat daripada merangkak keluar daripada neraka Allah swt.  Setelah ia melalui tempat api itu, dia menoleh ke belakang lalu dia berkata ‘Maha Suci Allah yang telah menyelamatkan diri aku daripada api neraka , sesungguhya aku dikurniakan oleh Allah, satu pemberian yang belum pernah diberikan oleh Allah kepada seseorang pun daripada golongan terdahulu ataupun orang terkemudian ‘. Kemudian diperlihatkan kepadanya satu batang pokok lalu dia berkata, “Ya Tuhanku, sudi kiranya Engkau dekatkanlah daku kepada bawah pohon itu agar dapat berteduhlah diri ini yang sudah bertapa lama diazab sengsara dalam neraka agar dapat bernaung di bawah teduhan pokok itu” lalu Allah s.w.t. berkata, ‘Wahai anak Adam, kalau aku sudah berikan kepadamu permintaan ini, apakah engkau akan meminta yang lain lagi’ lalu orang itu berkata , ‘Ya Tuhanku, aku tidak akan meminta benda yang lain, lalu orang itu disuruh berjanji  agar tidak meminta yang lain  dan setelah itu Tuhan pun menerima permohonannya kerana dilihat orang itu tidak sabar-sabar lagi mendapat keinginan untuk didekatkan dengan pohon itu maka Allah pun mendekatkannya.
Kemudian, setalah dia melihat nikmat yang pertama itu, dia diperlihatkan sebatang pohon yang lebih bagus redupannya, naungannya lalu dia berkata ‘Ya Tuhanku, berikan aku pohon yang lebih cantik ini agar aku dapat bernaung di bawahnya dan meminum air di bawahnya lalu Allah berfirman, ‘ Wahai anak Adam , bukankah sebelum ini engkau sudah berjanji untuk tidak meminta benda yang lain lagi, barangkali kalau sudah Aku berikan permintaan yang ini, engkau akan meminta lagi yang lain’. Kemudian orang itu berkata, ‘Ya Allah, aku tidak akan meminta yang lain, inilah yang terakhir’. Allah s.w.t. menerima permohonannya  kerana dilihat orang itu tidak sabar-sabar lagi dan Allah mendekatkan dengan orang itu dengan pohon yang lebih lebat, yang lebih rendang, yang lebih banyak air di bawah naungan pohon itu.
Namun sesudah itu, lelaki itu diperlihatkan dengan pokok yang lebih lebat. Lelaki itu memohon kepada Allah untuk bernaung di bawah pohon itu. Allah mengizinkan permintaannya dan lelaki itu berkata tidak tidak akan meminta yang lain. Allah berfirman, ‘Bukankah sebelum ini engkau telah berjanji kepadaKu untuk tidak meminta yang lain’? Orang itu menjawab, ‘Benar, sekarang aku tidak akan meminta yang lain lagi’. Apabila lelaki itu berdekatan dengan pohon itu, terdengarlah bunyi penghuni syurga. Lelaki itu berdoa, ‘Ya Tuhanku, masukkanlah aku dalam syurga ‘.Allah memperkenankan permintaannya. Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, apakah yang boleh memuaskan hatimu sehingga engkau tidak meminta-minta lagi’? Lelaki itu berkata, ‘Ya Tuhanku, adakah engkau memperolok-olokkan aku padahal engkau adalah Tuhan sekalian alam ‘? Abdullah bin Masud yang meriwayatkan hadis ini ketawa kerana gurunya, Rasulullah ketawa setelah mengeluarkan hadis ini. Rasulullah s.a.w. ketawa kerana Allah s..w.t. ketawa kerana memasukkan lelaki itu ke dalam syurga padahal dia mempersoalkan sifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang Allah s.w.t. 
(Barangsiapa yang berqiyam pada bulam Ramadan maka akan diampunkan dosa-dosa )

      BIRO PENERBITAN & DAKWAH
             SURAU AR-RAHIM KOTA PERDANA
             14 Ogos 2011

No comments:

Post a Comment