Wednesday 24 August 2011

RENUNGAN - RAMADAN

RENUNGAN - RAMADAN AKAN BERLALU DAN SYAWAL AKAN MENJELANG TIBA
Sedar atau tidak - masa berlalu begitu cepat. Ada yang mengatakan sebulan bagaikan seminggu , seminggu bagaikan beberapa hari sahaja, siang berlalu terlalu cepat – sedar-sedar sudahpun malam. Begitulah kita, senantiasa saja mengeluh, bagaikan masa 24 jam yang diperuntukkan Allah swt kepada kita semakin hari semakin dipendekkan. Apakah itu benar? Hakikatnya, masa tetap sama iaitu 24 jam ataupun bersamaan 1440 minit atau 86,400 saat sehari. Itulah hakikat masa daripada sejak dahulu dan masa kini.
Sebenarnya, kitalah yang menentukan sama ada masa itu berlalu  cepat ataupun lambat. Memang kita senantiasa sebuk. Bagi yang bekerja tak kira sama ada di sektor awam atau swasta, mencari masa untuk kegunaan peribadi selepas selesai bekerja dengan majikan adalah satu perkara yang rumit. Nampak semacam tak ada masa yang terluang. Sama ada kita bersedia menerima hakikat atau tidak, kebanyakan kita tidak pandai menyusun dan merancang penggunaan masa dengan efektif. Biasanya kita hanya mengikut naluri hati kita sendiri tanpa merancang dan memberi keutamaan apa yang penting dan perlu didahulukan. Maka terjadilah apa yang kita lakukan hanya berpaksikan kepada naluri kita tanpa memberi penekanan  kepada keutamaan yang penting.
Fiqah Keutamaan (Fi Fiqah al-Awlawiyyat) karya Prof. Dr. Yusof Abdullah Al-Qardhawi banyak membahaskan perkara ini dalam perspektif yang lebih luas. Bagi yang telah pencen,  keadaan yang sama tetap berlaku. Mereka juga merasa tak cukup masa! Teori masa bekerja dulu rupanya salah – rancangan pencen biasanya begitu ambitious, nak buat itu dan nak buat ini. Itulah yang selalu dibisikkan dalam hati masing-masing. Masa pencen kononnya nak dipenuhkan dengan melakukan perkara-perkara yang tidak sempat dilakukan semasa bekerja dahulu dan akan menumpukan lebih masa beribadah kepada Allah swt. Kadang-kadang persoalan ibadah disalah tafsir dengan hanya menumpu kepada perkara-perkara yang melibatkan sembahyang , puasa, zakat, menunaikan haji dan umrah sahaja. Kita sebenarnya mungkin gagal melihat ibadah dalam konteks dan perspektif yang lebih luas.
Berbalik kepada Ramadan yang akan berlalu pergi tidak berapa hari lagi, marilah kita bermuhasabbah diri kita masing-masing:


BIL.
MUHASABBAH DIRI
1.
Apakah Ramadan kali lebih baik dari yang sebelumnya?
2.
Kalau jawapannya ‘ya’, tenung dahulu secara keseluruhannaya apa yang baiknya. Kemudian muhasabbah lagi diri seperti di bawah:
3.





.
Kita sering mengeluh betapa cepatnya masa berlalu. Ada dua (2) perkara penting di dalam kita menganalisis diri mengenai masa:
§          Adakah banyak masa kita berlalu dengan sia-sia?
§          Adakah banyak masa berlalu dengan dosa?

Lihat dan analisis amalan yang kita lakukan dalam 6 peringkat:
§         Bagaimana amalan bentuk diri kita seperti sembahyang, puasa, zakat dan  sebagainya?
§        Bagaimana amalan bentuk keluarga seperti nafkah, menjadi isteri yang taat, suami yang baik,  menjadi anak yang taat dan sebagainya?
§        Bagaimana amalan bentuk masyarakat seperti menjaga keamanan masyarakat, amar makruf nahi mungkar? Sejauh mana sumbangan kita kepada ahli khariah dalam kawasan Kota Perdana? Bagaimana dengan jiran terdekat kita?
§         Bagaimana dengan amalan dalam bentuk menyumbang tenaga kepada  negara seperti membangunkan negara selaras dengan agama dan sebagainya?
§         Bagaimana amalan bentuk ummah Islamiyyah sekeliannya seperti membantu atau mendoakan saudara seIslam walau di mana mereka berada?
§         Ada kita orang yang menjalani kehidupan dengan amalan yang dibuat dengan sambil lewa?
4.
Bagaimana tahap ketakwaan kita kepada Allah?
5.
Berapa banyak sedekah kepada perlu telah dikeluarkan? Bagaimana keikhlasan kita besedekah?
6.
Bagaimana kita menjaga aurat kita?
7.
Bagaimana dengan qiamullail kita?
8.
Bagaimana dengan tadarus kita?
9.
Bagaimana lidah kita berperanan pada bulan puasa ini? Bagaimana mata kita berperanan? Bagaimana telinga kita berperanan? Bagaimana ‘hati’ kita berperanan? Bagaimana anggota-anggota tubuh badan yang lain berperanan?
10.
Adakah kita terdedah dengan sifat mazmumah – riak, bangga diri, kasihkan kemegahan, pemarah, hasad, hubbuddunia (kesenangan duniawi) dan lain-lain.
11.
.
Bagaimana makan minum kita dalam bulan Ramadan ini – adakah berlaku pembaziran atau tidak? Sekiranya kita membeli makan minum kita di bazar ramadan ataupun dimana-mana saja – adakah kita berhati-hati disegi halal haramnya? Hatta penjual yang menjual juga perlu diperhatikan adakan mereka menjaga disegi hukum hakam syarak – Mithalannya adakah mereka menutup aurat? Pilihan yang terbaik ialah membeli makanan daripada orang menjaga hukum syarak untuk mendapat keberkatan. Ini adalah ketelitian yang boleh membawa kepada keberkahan dalam perihal makan minum yang melambangkan keperibadian seorang muslim yang tulin.
12.
Bagaimana hubungan kita antara sesama insan – adakah kita sering bermaaf-maafan  sebagai yang dituntut dalam syari'at?
13.
Apakah nilai perbandingan ibadah kita berbanding dengan Nabi saw? Mungkin bagai langit dan bumi.
14.
Segala apa yang dilalui, perlu selalu bermuhasabah. Saidina Umar mengatakan “hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab”. Semoga Allah akan terus menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat.

Semoga Allah akan memanjangkan umur kita sehingga ke akhir Ramadan tahun ini dan melalui proses pembelajaran di sekolah atau universiti Ramadan ini, kita akan menyambut hari graduasi atau konvokesyen pada 1 syawal 1432H. Marilah sekali lagi kita sama-sama berdoa agar kita dipanjangkan umur dan diketemukan lagi pada Ramadan dan syawal akan datang, insya Allah.

Bagi penduduk khariah Surau Ar-Rahim, pihak Surau Ar-Rahim mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin. Semoga permaufakatan kita disepanjang Ramadan ini akan memperkukuhkan ukhwah kita dalam kampung Kota Perdana ini. Pemaufakatan ini juga  diharap bukan sahaja  membawa kita kepada kekuatan membina persaudaraan antara sesama kita, malah yang lebih penting ialah membawa semangat dan kekuatan Ramadan ke sepanjang tahun dalam membina kekuatan iman kita. Bersama-samalah kita menyusun program mengimarahkan surau kita, baik dalam konteks peribadahan maupun menuntut ilmu. Bagi yang balik kampung , pandu cermat dan berhati-hati di jalan raya. Jangan lupa berdoa memohon keselamatan kepada Alah swt. Selamat kita bertemu kembali dan selamat menunaikan puasa sunat enam  di bulan Syawal. Mengikut Al-Imam Muslim daripada Abu Ayub Al-Ansary katanya; Rasulallah telah bersabda yang bermaksud " Barang siapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal adalah seumpama puasa sepanjang tahun".

Bagaimana perkiraan pahala puasa "satu tahun". Dikeluarkan oleh An-Nisaa'ei dan Ibnu Hibban daripada Thauban katanya; Rasulallah s.a.w telah bersabda yang bermaksud "Puasa sebulan Ramadan bersamaan dengan puasa selama 10 bulan dan puasa selama 6 hari selepasnya menyamai puasa 2 bulan, maka dengan yang demikian puasa satu tahun". Perkiraan ini berpandukan kepada setiap kebajikan dan kebaikan di sisi Allah adalah menyamai dengan 10 kebajikan. Ini bermakna setiap hari di bulan Ramadan (1 hari x10 kebajikan x 30 hari) menyamai 300 hari atau 10 bulan. Juga puasa 6 hari di bulan Syawal (6 hari x 10 kebajikan) menyamai 60 hari atau 2 bulan. Oleh itu, jumlah keseluruhan ialah 360 hari atau 1 tahun.

Wallahualam.

BIRO PENERBITAN & DAKWAH, SURAU AR-RAHIM
25 OGOS 2011


Thursday 18 August 2011

SERANGAN JAIS KE ATAS GEREJA

‘Serangan JAIS’ Ke Atas Gereja: Tanya Diri Kita Dulu!
Disiarkan pada Aug 07, 2011 dalam kategori Kenyataan & Penjelasan
‘SERANGAN JAIS’ KE ATAS GEREJA: TANYA DIRI KITA DULU!
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Saya belum ingin mengulas tentang ‘serangan’ atau serbuan JAIS ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya seperti yang disiarkan oleh berita beberapa hari ini di sudut tindakan ‘serangan’ itu. Cumanya, seperti mana yang kita ketahui bahawa tiada manusia yang bertamadun yang boleh menerima tindakan provokasi yang boleh mencetuskan permusuhan antara penganut agama tanpa alasan yang sah. Saya ingin menyentuh tentang orang-orang Islam yang hadir ke majlis tersebut yang dikatakan oleh pihak media hadir mereka terpengaruh dengan agama Kristian disebabkan sikap baik penganut agama berkenaan membantu mereka. Difahamkan bahawa orang-orang Islam yang hadir, terutama ibu-ibu tunggal terdiri dari kalangan mereka yang amat daif dan miskin. Mereka telah berulang kali memohon bantuan dari masyarakat Islam, tetapi gagal. Apabila ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dengan mudah, maka mereka rasa ‘jatuh hati’ dan ‘terhutang budi’. Di sini beberapa persoalan patut ditimbulkan;


1. Ke mana perginya wang zakat kita? Ratusan juta hasil kutipan yang diumumkan saban tahun, apakah tidak mampu untuk membantu fakir miskin ini keluar dari kesusahan mereka sehingga tidak perlu meminta ‘sedekah’ kepada orang lain?
2. Mengapa kerenah birokrasi begitu tinggi untuk fakir miskin mendapatkan bantuan zakat? Semua orang yang pernah berurusan dengan hal ini, akan ada pengalaman mereka sendiri. Untuk mendapatkan RM 100-200 pun, begitu banyak kerenahnya. Sedangkan pejabat zakat kelihatan mewah, gaji pegawai dan bos begitu tinggi dan peralatan urusan juga begitu canggih. Apakah belanja yang tinggi itu hanya untuk urusan mencari pembayar, tetapi tiada kesungguhan yang memadai untuk mencari penerima yang layak?
3. Tujuan zakat antaranya untuk mendekatkan hati manusia dengan Islam. Sebab itu, ada hak untuk golongan muallaf. Bagaimanakah mungkin pengurusan zakat gagal melakukan hal ini, sehingga yang sudah muslim ingin meninggalkan Islam kerana gagal mendapat bantuan dari umat Islam khususnya zakat?!
4. Bukan sesuatu yang haram untuk seseorang muslim menerima bantuan daripada bukan muslim. Apatahlagi, jika mereka dalam kesusahan yang amat. Tindakan mereka menerima bantuan tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya perbuatan pihak muslim yang sepatutnya memberi bantuan kepada mereka tetapi tidak melakukannya itulah yang patut disalahkan.
5. Jika dibincangkan disudut bantuan, pada asasnya, kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana memberikan bantuan. Adalah menjadi hak setiap orang untuk memberikan bantuan kepada sesiapa yang mereka mahu. Selagi mengikut peraturan dan undang-undang, seseorang boleh memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa terbatas dengan agama atau bangsa. Janganlah jika kita gagal membantu –sedangkan kita mampu- kita menyalahkan orang lain yang membantu.
6. Setiap orang akan terpengaruh dengan pihak yang berbuat baik kepadanya. Itu fitrah manusia. Jika dia lemah iman, mungkin agamanya juga diserahkan. Mereka yang terpengaruh dengan pihak gereja atas budi baik, itu sesuatu yang tidak pelik. Namun yang pelik, bagaimana dalam negara Islam, umat kita boleh menukar agama disebabkan layanan yang tidak memuaskan oleh masyarakat muslim? Sebaliknya mereka terpengaruh dengan sikap baik penganut agama lain. Apakah slogan-slogan agama kita selamat ini hanya kosmetik yang tidak berpijak kepada realiti kehidupan?
Maka, banyak persoalan perlu masyarakat muslim tanya diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain. Tabiat menuding jari kepada orang lain untuk menutup kelemahan sendiri tidak akan dapat menyelesaikan masalah kita!

TAZKIRAH RAMADAN SURAU AR-RAHIM KOTA PERDANA

Blogspot address: http://surau-arrahim.blogspot.com./
Email : surauarrahim@gmail.com
Surau ar-rahim Keluaran 1/8/11 -3

SURAU AR-RAHIM KOTA PERDANA
_____________________________________________________________________________

Tazkirah Ramadan Minggu Pertama:
Kelebihan Ramadhan Sebagai Bulan Meningkatkan Produktiviti

Berdasarkan kepada Penulisan oleh:
Muhammad Hisyam bin Mohamad






Sebagaimana yang kita tahu bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan berbanding bulan-bulan lain. Al-Quran ada menyentuh tentang perkara ini. Antaranya ialah tentang kelebihan malam lailatul qadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Selain itu banyak hadis nabi yang turut menyatakan tentang kelebihan bulan Ramadhan ini terutamanya dari segi pahala amal ibadat yang dilipatgandakan oleh Allah s.w.t.

Dengan lain perkataan, pada bulan Ramadhan Allah s.w.t menawarkan pelbagai insentif untuk direbut oleh umat Islam menerusi amal ibadat yang mereka lakukan.
Menyentuh tentang perkara amal ibadat, berbanding dengan bulan-bulan yang lain, pada bulan Ramadhan ini, memang ramai di antara umat Islam yang meningkatkan kegiatan berbentuk kerohanian mereka. Jelasnya, pada bulan Ramadhan kalau dilihat dari sudut pandang produktiviti, kebanyakan daripada kita mencatatkan peningkatan yang ketara dari segi amal ibadat yang dilakukan.

Apa yang menimbulkan kehairanan di sini ialah dalam pada kita berusaha menghidupkan malam Ramadhan dengan amalan-amalan solat tarawih, qiamullail, tadarus dan sebagainya (kerana mengejar pahala dan fadilat Ramadhan); kebanyakan kita menjadikan alasan berpuasa untuk mengurangkan kegiatan-kegiatan kerja harian pada siang harinya. Bila kita berpuasa, perkara asas yang sering kita lakukan iaitu makan dan minum kita terpaksa tinggalkan. Memang tidak dinafikan bahawa keadaan ini akan menyebabkan kita cepat letih sekiranya kita menggunakan tenaga secara berlebihan.Namun ia sebenarnya bukanlah suatu alasan alasan untuk kita bermalas-malasan atau menjadi tidak giat dalam urusan kerja harian.

Jika kita menelusuri sejarah tamaddun Islam, dalam bulan Ramadhanlah banyak peristiwa penting yang berlaku yang semuanya menuntut kekuatan jasmani kaum muslimin terdahulu walaupun pada ketika itu mereka sedang menjalani ibadat puasa. Akan tetapi suasana yang sebaliknya berlaku kepada umat Islam sekarang. Mungkin kita perlu ambil iktibar daripada umat Islam terdahulu dari sudut bagaimana mereka mengharungi Ramadhan tanpa perlu menggunakan alasan berpuasa untuk lari daripada melaksanakan tanggungjawab mempertahankan dan meninggikan syiar Islam.
Malah pada bulan Ramadhanlah mereka mengambil kesempatan untuk mengatur strategi dan mengambil perbagai usaha yang memerlukan mereka bermandi keringat yang akhirnya membolehkan kita pada hari ini merasai nikmat iman dan Islam. Peristiwa Perang Badar, pembukaan Kota Mekah, pembukaan Andalus oleh Tariq bin Ziyad, pengusiran keluar tentera salib daripada bumi Palestin oleh Salahuddin al-Ayyubi, kejayaan tentera kerajaan Mamluk menghentikan penguasaan Mongol ke atas empayar Islami, kejayaan tentera kerajaan Utmaniah menghalang kemaraan tentera Russia dan kejayaan mendapatkan kembali Semenanjung Sinai menerusi kemenangan tentera Mesir dalam Perang Arab Israel merupakan antara contoh-contoh penting tentang keazaman dan kejayaan umat Islam dahulu dalam perjuangan mereka menegakkan kebenaran yang semuanya berlaku pada bulan Ramadhan.

Apa yang lebih mengkagumkan kita, ia melibatkan bilangan yang sedikit di pihak yang benar yang sedang melakukan ibadah puasa mengatasi bilangan yang besar di pihak yang batil. Sebagai contoh, dalam Perang Badar dengan hanya kekuatan 313 tentera, pejuang Muslimin berjaya menewaskan tentera musyrikin yang lengkap bersenjata yang seramai 1000. Begitu juga dengan angkatan perang yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad. Dengan kekuatan 12000 orang tentera, beliau berjaya menewaskan 90000 tentera Kristian pimpinan Roderick. Ekoran daripada itu, agama Islam dan peradabannya berkembang makmur untuk selama 700 tahun di bumi Andalus.

Jadi apa yang dapat dirumuskan menerusi peristiwa-peristiwa penting yang dinyatakan di atas, berbanding dengan kita sekarang ini umat Islam dahulu memahami dengan mendalam falsafah Ramadhan. Mereka memahami bahawa Ramadhan merupakan bulan untuk mendidik mereka tentang erti pengorbanan yang sebenar.

Bagi mereka, Ramadhan bukan sahaja menuntut pengorbanan nafsu seseorang (nafsu makan, minum, tidur, kelamin dan lain-lain); namun ia juga menuntut pengorbanan jiwa raga untuk meninggikan syiar Islam. Maka tidak hairanlah pada zaman awal hinggalah ke zaman kegemilangan tamadun Islam, bulan Ramadhan dipenuhi dengan pelbagai peristiwa penting yang menjadi bukti kukuh tentang pengorbanan umat Islam terdahulu dalam perjuangan mereka untuk menegakkan kalimah Allah.

Kebanyakan daripada kita pada hari ini tidak menghayati semangat yang dibawa oleh Ramadhan. Bagi mereka, Ramadhan bermaksud bulan menahan lapar dan dahaga serta bulan untuk mengurangkan kegiatan-kegiatan yang mereka rujuk sebagai “duniawi”. Urusan kerja dan urusan harian pada siang hari dikurangkan. Kononnya ia adalah urusan dunia. Malah tidur pada siang hari lebih diutamakan kerana bagi mereka ia adalah ibadat.Ini adalah satu fahaman yang tidak tepat. Urusan duniawi seperti kerja-kerja harian yang selaras dengan kehendak Shariah serta kegiatan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi baik di bidang perkhidmatan, perniagaan dan lain-lain sebenarnya adalah suatu bentuk ibadat. Selain itu ia juga merupakan satu bentuk jihad kerana ia berperanan untuk menggiatkan pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan suatu persekitaran kehidupan yang selesa untuk ahli masyarakat.
Sepatutnya pada bulan Ramadhan kegiatan-kegiatan ini dapat ditingkatkan kerana tumpuan kita semasa bekerja untuk makan dan minum sudah berkurangan. Dengan kata lain, bila tumpuan kita untuk makan dan minum tiada, kesempatan ini sepatutnya digunakan untuk kita meningkatkan lagi usaha kerja harian. Secara ringkasnya, pada bulan Ramadhan kita tidak seharusnya berusaha meningkatkan kegiatan amalan-amalan kerohanian semata-mata demi mengejar pahala yang berlipatganda yang dijanjikan Allah s.w.t.

Di dalam surah al-Nahl Allah s.w.t ada menyatakan bahawa sesiapa yang mengerjakan amal soleh, Dia akan memberi balasan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka usahakan. Amal soleh atau ibadat dalam agama Islam tidak terhad untuk solat, puasa, zakat atau haji. Ia merangkumi pelbagai kegiatan yang selaras dengan kehendak Shariah yang dilakukan oleh manusia. Ini termasuklah juga urusan harian dan segala kegiatan ekonomi untuk memenuhi keperluan kehidupan. Jadi jika umat Islam dahulu memanfaatkan sepenuhnya malam bulan Ramadhan dengan qiamullail dan waktu siangnya menitis keringat berjihad di jalan Allah, kita sebagai umat yang terkemudian yang hidup dalam persekitaran yang lebih baik daripada mereka sepatutnya memanfaatkan kelebihan Ramadhan untuk melatih diri menjadi insan yang lebih baik dalam semua bidang kehidupan.



BIRO PENERBITAN SURAU AR-RAHIM KOTA PERDANA
16 OGOS 2011

Sunday 14 August 2011

Tazkirah Ramadan Surau Kota Perdana

Kuliah Ramadan Kota Perdana

Keluaran 18/11-2
SURAU AR –RAHIM KOTA PERDANA


RINGKASAN TAZKIRAH RAMADAN OLEH:   
USTAZ ABU BAKAR   
Pada 5 Ogos 2011   

§  Ramadan adalah tetamu yang Allah hantarkan kepada umat Islam ; 
§  Ramadan datang dengan menggandakan amalan kita;    
§  10 malam terakhir bulan Ramadan penanda bagi malam Lailatul Qadr ; 
§  1 amalan fardu di bulan Ramadan disamakan dengan 70 amalan fardu di luar Ramadan;  
§  1 amalan sunat di bulan Ramadan disamakan dengan 1 amalan fardu di luar Ramadan;  
§  Malam Lailatul Qadr adalah malam yang lebih baik daripada seribu bulan ibadah;   
§  Sesiapa yang mendapat malam Lailatul Qadr akan disediakan syurga ; 
§  Takbir Hari Raya menandakan kemenangan melawan hawa nafsu di bulan Ramadan; 
§  Hawa nafsu yang diperangi itu adalah hawa nafsu yang berkongsi dengan Iblis;dan   
§  Amal baik orang kafir adalah seperti tin kosong di akhirat.  


TAZKIRAH RAMADAN OLEH:  
USTAZ NIZAMUDDIN  ZAKARIA
USIM  
Pada 4 Ogos 2011 
  
NIKMAT SYURGA   
Ibnu Masud meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:  
Seorang yang paling akhir masuk syurga ialah lelaki, dia berjalan dan kadang –kadang merangkak , ketika itu ia masih lagi diekori api neraka akibat daripada merangkak keluar daripada neraka Allah swt.  Setelah ia melalui tempat api itu, dia menoleh ke belakang lalu dia berkata ‘Maha Suci Allah yang telah menyelamatkan diri aku daripada api neraka , sesungguhya aku dikurniakan oleh Allah, satu pemberian yang belum pernah diberikan oleh Allah kepada seseorang pun daripada golongan terdahulu ataupun orang terkemudian ‘. Kemudian diperlihatkan kepadanya satu batang pokok lalu dia berkata, “Ya Tuhanku, sudi kiranya Engkau dekatkanlah daku kepada bawah pohon itu agar dapat berteduhlah diri ini yang sudah bertapa lama diazab sengsara dalam neraka agar dapat bernaung di bawah teduhan pokok itu” lalu Allah s.w.t. berkata, ‘Wahai anak Adam, kalau aku sudah berikan kepadamu permintaan ini, apakah engkau akan meminta yang lain lagi’ lalu orang itu berkata , ‘Ya Tuhanku, aku tidak akan meminta benda yang lain, lalu orang itu disuruh berjanji  agar tidak meminta yang lain  dan setelah itu Tuhan pun menerima permohonannya kerana dilihat orang itu tidak sabar-sabar lagi mendapat keinginan untuk didekatkan dengan pohon itu maka Allah pun mendekatkannya.
Kemudian, setalah dia melihat nikmat yang pertama itu, dia diperlihatkan sebatang pohon yang lebih bagus redupannya, naungannya lalu dia berkata ‘Ya Tuhanku, berikan aku pohon yang lebih cantik ini agar aku dapat bernaung di bawahnya dan meminum air di bawahnya lalu Allah berfirman, ‘ Wahai anak Adam , bukankah sebelum ini engkau sudah berjanji untuk tidak meminta benda yang lain lagi, barangkali kalau sudah Aku berikan permintaan yang ini, engkau akan meminta lagi yang lain’. Kemudian orang itu berkata, ‘Ya Allah, aku tidak akan meminta yang lain, inilah yang terakhir’. Allah s.w.t. menerima permohonannya  kerana dilihat orang itu tidak sabar-sabar lagi dan Allah mendekatkan dengan orang itu dengan pohon yang lebih lebat, yang lebih rendang, yang lebih banyak air di bawah naungan pohon itu.
Namun sesudah itu, lelaki itu diperlihatkan dengan pokok yang lebih lebat. Lelaki itu memohon kepada Allah untuk bernaung di bawah pohon itu. Allah mengizinkan permintaannya dan lelaki itu berkata tidak tidak akan meminta yang lain. Allah berfirman, ‘Bukankah sebelum ini engkau telah berjanji kepadaKu untuk tidak meminta yang lain’? Orang itu menjawab, ‘Benar, sekarang aku tidak akan meminta yang lain lagi’. Apabila lelaki itu berdekatan dengan pohon itu, terdengarlah bunyi penghuni syurga. Lelaki itu berdoa, ‘Ya Tuhanku, masukkanlah aku dalam syurga ‘.Allah memperkenankan permintaannya. Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, apakah yang boleh memuaskan hatimu sehingga engkau tidak meminta-minta lagi’? Lelaki itu berkata, ‘Ya Tuhanku, adakah engkau memperolok-olokkan aku padahal engkau adalah Tuhan sekalian alam ‘? Abdullah bin Masud yang meriwayatkan hadis ini ketawa kerana gurunya, Rasulullah ketawa setelah mengeluarkan hadis ini. Rasulullah s.a.w. ketawa kerana Allah s..w.t. ketawa kerana memasukkan lelaki itu ke dalam syurga padahal dia mempersoalkan sifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang Allah s.w.t. 
(Barangsiapa yang berqiyam pada bulam Ramadan maka akan diampunkan dosa-dosa )

      BIRO PENERBITAN & DAKWAH
             SURAU AR-RAHIM KOTA PERDANA
             14 Ogos 2011

Kuliah Subuh 30 Julai 2011 - Kelebihan Solat Subuh Berjemaah

Keluaran Bil. 1/8/11-1


SURAU AR-RAHIM KOTA PERDANA
_______________________________________________
KULIAH SUBUH OLEH:
USTAZ HAJI MURSHIDI BIN HAJI NASUHA
Pada 30 Julai 2011

Kelebihan Solat Subuh Berjamaah

Ø  Sesiapa yang melakukan solat subuh berjamaah diberi  jaminan dalam 2 perkara:
§  Kebebasan daripada api neraka jahanam; dan
§  Kebebasan daripada sifat munafik.

ü  Kekusyukan semasa melakukan takbir akan dapat menemukan kita kepada kekusyukan solat;
ü  Kebebasan daripada neraka jahanam memerlukan tumpuan kita untuk khusuk pada rakaat pertama solat subuh dan keseluruhan solat dan ia dijamin oleh Allah SWT;
ü  Langkah untuk khusyuk dalam solat perlu diterapkan melalui penghayatan di dalam hati dan dirasai oleh seluruh jasad kita;
ü  Khusuk tidak datang dengan sendiri tetapi adalah melalui kesungguhan usaha;
ü  Dengan takbir yang khusuk, Allah hapuskan dosa dan berikan nur, hidayah dan ketenangan hati;
ü  Khusyuk boleh diperolehi dengan mengeluarkan seluruh keinginan hati kita kepada perkara duniawi dan menumpukan sepenuhnya kepada Allah SWT;
ü  Semakin lama solat dilakukan secara khusyuk, semakin banyak dosa dihapuskan;
ü  Mengikut hadis – riya’ yang sedikit mampu merobohkan ibadah setinggi gunung; dan
ü  Hasad memakan kebaikan kita sedikit demi sedikit.

Ø  Bulan Ramadan adalah peluang untik kita mencari rahsia Allah. Terdapat cerita yang mengatakan bahawa pada malam Lailatul Qadr, lautan menjadi keras seperti batu. Cerita yang disampaikan bukan daripada pemuda kaki lima tetapi daripada ulama lampau yang menceritakan keajaiban malam Lailatul Qadr.

Tip untuk menghafaz Al-Quran:
ü  Banyak Maahad Tahfiz menggunakan waktu Maghrib dan Isyak untuk menghafaz Al-Quran;
ü  Waktu Zuhur & Asar tidak sesuai untuk menghafaz;
ü  Nabi menyuruh sahabat beribadah pada waktu Asar;
ü  Ingatan kita seperti pisau, jika digunakan dengan betul ia semakin tajam; dan
ü  Ingatan kita kuat pada waktu 1/3 malam, carilah rahsia Ramadan pada waktu tersebut.
BIRO PENERBITAN & DAKWAH
SURAU AR-RAHIM, KOTA PERDANA
3 OGOS 2011

Wednesday 10 August 2011

Tuesday 2 August 2011

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

Assalammualaikum kepada semua para jemaah. Kami di Surau Ar-Rahim mengucapkan selamat menyambut bulan ramadhan al-mubarak. Semoga bulan ramadhan ini akan menjadikan kita lebih kuat dalam beriman kepada Allah dan Rasul S.A.W . serta berjuang sepenuh hati dan harta di jalan Allah. Insya-Allah.

Monday 1 August 2011

Assalammualaikum Para Jemaah

Assalammualaikum kepada semua para jemaah Surau Ar-Rahim semoga anda sentiasa diberkati oleh Allah sentiasa. Blog ini adalah website rasmi bagi Surau Ar-Rahim Kota Perdana dan akan memuatkan segala program dan berita mengenainya. Wassalam